Apatah lagi, sokongan kelab peminat Zara Zya juga diakui mantap dan kuat.
Pun begitu, masih selesa bersederhana, Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 29, mengakui dia tidak pernah berubah sikap.
“Meskipun satu demi satu kejayaan saya peroleh, sama masih sama seperti dulu. Tiada apa yang mengubah sikap saya kecuali memilih watak sesuai untuk dilakonkan. Itu pun kerana jangkaan peminat pada kemampuan saya semakin tinggi.
“Jadi, saya tidak boleh ambil mudah dalam tawaran watak diterima. Apapun, setakat ini nampaknya tawaran berlakon untuk saya tak putus. Namun, saya tak mahu tamak dengan hanya terima tawaran yang dirasakan mampu,” katanya.
Ditemui ketika menjayakan rakaman program Ketuk-Ketuk Ramadan terbitan JS Pictures Sdn Bhd yang dihoskan pelakon dan penerbit, Sheila Rusly di Rawang, baru-baru ini, Zara Zya semakin menjadi perhatian peminat.
Kemunculannya bagaikan satu tarikan dan dia nyata tidak sombong meluangkan masa melayani peminat yang mahu bergambar bersama.
Katanya, sejak karier lakonan semakin menjadi perhatian sebenarnya kini ramai sudah mengaku kawan dan saudara.
“Paling yang saya tak boleh terima, apabila ada bekas kawan lelaki yang pernah menolak saya dulu, akhirnya muncul kembali dan mahu menjalin hubungan semula. Bagaimanapun, saya menolak dengan baik kerana fokus sekarang pada karier.
“Saya akui hingga kini masih lagi solo dan tiada sesiapa yang bertakhta di hati. Bukan bersikap terlalu memilih, cuma sekarang karier pun nampaknya semakin stabil dan segala urusan jodoh biarlah Tuhan saja tentukan.
“Sekarang pun, rutin harian saya adalah berada di lokasi jika masih ada baki penggambaran yang belum selesai. Selepas itu, balik ke rumah dan berehat sepuasnya sebelum ke lokasi semula,” katanya mengakui sudah terbiasa.
Mengulas mengenai kriteria lelaki idamannya, Zara Zya berkata, dia inginkan seorang yang penyayang, menerima diri seadanya serta paling penting menghormati orang tua. Apapun, buat masa ini katanya belum terfikir untuk berumah tangga.
Berniaga tudung secara ‘online’
Selain aktif berlakon, Zara Zya juga memaklumkan dia kini turut berjinak-jinak mengusahakan perniagaan tudung secara ‘online’ di Internet.
Katanya, dia memilih untuk menjual tudung kerana potensi pasaran sekarang.
Tak dinafikan permintaan tudung kini di pasaran agak meningkat. Jadi, berbekalkan bakat dimiliki Zara Zya mencuba nasib menghasilkan rekaan tudungnya sendiri dan dijual dalam talian pada harga agak berpatutan kerana material digunakan.
“Apapun, saya sebenarnya tak pernah memaksa peminat mahu pun masyarakat membeli tudung yang saya reka dan jual di Internet itu jika mereka berasakan harganya agak mahal. Jadi, janganlah pula menghukum saya dengan dakwaan cuba mengaut keuntungan mudah.
“Harga ditetapkan memang berpatutan kerana material digunakan. Saya tidak meletakkan harga sesuka hati pun,” katanya mengakui agak kecewa apabila ada segelintir pengunjung laman sosialnya bertindak mengecam dan mempertikaikan.
Menurutnya lagi, ada juga segelintir yang membidas dia yang tidak bertudung, tetapi menjual tudung rekaan sendiri di Internet.
Kata anak bongsu dalam keluarga ini, dia kesal dengan fikiran negatif sebegitu.
Katanya, tidak semestinya dia tidak bertudung maka menjadi satu halangan untuk membabitkan diri dalam penjualan tudung.
Tidak pernah menjadikan segala kritikan dan dakwaan itu sebagai titik noktah pada usahanya, Zara Zya berkata, dia cuba bersikap positif.
Katanya, biarlah apa orang hendak kata kerana lumrah mulut manusia yang tak mampu ditutup.
“Apapun, saya tetap yakin masih memiliki ramai penyokong yang setia memberi sokongan. Oleh itu, apa yang diperkatakan saya hanya jadikan pemangkin semangat untuk lebih maju dalam karier dan apa saja bidang diceburi,” katanya.
AdminLN - Ryh
No comments:
Post a Comment
Your Comment.